Kelasi Kapal

Saturday, March 24, 2012

Umrah 2012 (part i)

Alhamdulillah saya berpeluang menjadi tetamu Allah pada pertengahan bulan Feb lepas. Kegembiraan dapat menjejak kaki ke sana, hanya Allah yang tahu. Hanya mereka yang pernah melihat Baitullah yang tahu kerinduan untuk kembali ke sana. Masha-Allah, betapa DIA yang tahu gelora hati ini untuk kembali menghadap Baitil Atiq.

 Menaiki penerbangan Saudi Airlines SV831 jam 3pm pada 12/02/12 di KLIA, Alhamdulillah rombongan saya selamat sampai di mator (airport) hujjaj Jeddah jam 7.15pm hari yang sama memandangkan waktu di Saudi 5 jam kebelakang dari waktu Malaysia.



Makanan dalam penerbangan memang best. Cuma tak boleh nak makan beria mengingatkan tandas dalam flight tak seindah tandas di rumah sendiri thehehehee.




Ini adalah ketika melalui imigresen di mator Jeddah. Yang botak tu adalah pakcik Husin merangkap mahram saya dalam rombongan umrah ni, sekaligus saya diangkat jadi 'anak angkat' dia sepanjang di Tanah Suci.

Usai selesai urusan imigresen kami terus menaiki bas disediakan oleh DeMawardah Travel menuju ke Tanah Haram Makkah untuk menunaikan umrah kali pertama. Hanya tuhan yang tahu perasaan waktu ini, berdebar-debar nak menjejak kaki ke Tanah Haram buat kali pertama. Pertama kali memandang dinding Masjidil Haram (juga di sebut Haram sahaja) juga hati telah berdebar-debar.

Selesai check-in hotel yang terletak cuma 80m dari Haram, saya dan umi terus ke Haram untuk menyelesaikan umrah kali pertama. Dan ini adalah kerinduan yang tak bisa digambar dengan kata-kata apabila kali pertama memandangnya...


Allahu Akbar... Allahu Akbar... Allahu Akbar... Terasa betapa kerdilnya diri di sisi pemunya Baitil Atiq yang bersemayam di atas 'Arash. Terasa betapa ligatnya diri  ini membuat dosa namun dengan sifat Rahman dan RahimNYA, diri yang penuh dosa ini masih diberi kesempatan berkunjung ke sini.


Sambil beriktikaf di dalam masjid, sambil membasahi tekak dengan air ZamZam yang mempunyai sejuta macam khasiat. Kalau selama ini minum air ZamZam penuh dengan rasa kedekut sebab takut habis nanti dah tak dapat minum, tapi ketika berada di Tanah Haram ini saya minum sepuas-puasnya. Selagi boleh minum saya akan minum.

Masjidil Haram adalah sebuah masjid yang saya boleh katakan sebuah tempat yang sangat hebat dan canggih. Ini adalah penilaian dari mata kasar saya yang bukan seorang muhandis (jurutera). Haram yang tidak pernah sunyi dari ribuan malahan jutaan manusia, tidak pernah terbiar dengan walau sehelai tisu di atas lantai ataupun secalit habuk di tiang-tiang. Tiada satupun lampu di dalam Haram yang saya nampak tidak menyala. Tidak ada satupun kipas yang tidak berpusing. Tidak pernah sekalipun mikrofon di Haram berdesing atau berbunyi sumbang sepanjang saya mendengar muazzin melaungkan azan dan imam mengetuai solat.

Maha Suci Allah, betapa hebat teknologi yang dimiliki oleh orang Islam. Saya pernah diberitahu suatu ketika dulu, PA System yang ada di Haram adalah yang paling canggih di dunia. Saya percaya itu.


Ini adalah pintu yang menjadi laluan saya tiap kali ke Haram bersama umi. Juga pintu terbesar yang menghadap ke Burj Sa'ah atau nama lainnya ZamZam Tower.


Di sebelah kanan  itulah bab al-Malik Abdel Aziz, iaitu pintu Malik Abdul Aziz yang sering saya lalui. Yang tersergam indah di depan itu adalah hotel Dar al-Tauheed.


Ini adalah tempat Sa'ie. Tempat isteri Nabi Ibrahim, Hajar berulang-alik mencari air untuk anaknya Nabi Ismail yang kehausan waktu itu. Dengan sejarah dari Hajar inilah, terjadinya rukun Sa'ie dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali.


Ini adalah bukit Safa. Simbolik sahaja, bukan bukit yang asal. Maaf kerana saya tiada gambar bukit Marwah, tapi lebih kurang begini juga.




Di Masjidil Haram, setiap kali solat fardhu pasti akan disusuli dengan solat jenazah. Kebiasaannya lebih dari satu jenazah. Untungnya mereka yang disolatkan di Haram oleh jutaan umat Islam yang mana pahala beribadah di dalamnya adalah 100,000 kali ganda lebih baik dari masjid-masjid lain.


Hari ke-4 berada di Makkah al-Mukarramah, saya dan umi diberi rezeki oleh Allah Ta'ala untuk melakukan solat sunat di Hijir Ismail. Alhamdulillah saya dapat berdoa di bawah pancur emas di Hijir Ismail dengan selesa dengan izinNYA.


Dapat menatap dari dekat tapak kaki Nabi Ibrahim membuat hati terasa rindu pada pengorbanan baginda mula-mula mendirikan Kaabah. Cuma saya belum berkesempatan mengucup Hajarul Aswad. Semoga Allah memberi kesempatan pada saya diwaktu yang akan datang untuk mengucup Hajarul Aswad.

Sambung part ii pula nanti...

2 comments:

Nor Khalida said...

Assalammualaikum Wrt Wbt adik sayang,
nak tanya wife Nabi Ibrahim tu namanya Hajar atau Sarah?

Ummu~Ishak said...

wsalam,
alamak aii.. mekaseh akak tegur.. ntah ke mimpi apa ummu ni pi tulih Sarah lak.. dah dibetulkan pun fakta2 yg silap tu.. thanks akak tegur